.:: Travelog Acheh (1) : Menjejak Bumi Darussalam ::.

Posted: September 22, 2013 in Acheh, Indonesia, Vacation

Salam semuanya,

Tiba-tiba rasa macam nak cerita pasal Acheh, destinasi yang baru aku lawati minggu lepas. Mudah-mudahan perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada semua. 

Cerita di China aku sambung nanti ya? 

******

Alhamdulillah, syukur kerana sekali lagi aku diberi peluang untuk terus memanjangkan langkah kaki dan terus meneroka keindahan alam milik Allah ini. Kali ini destinasi kami ke wilayah Acheh, yang pernah suatu ketika diuji Allah dengan musibah Tsunami. Ternyata kejadian 26 Disember 2004 ini masih segar terpahat dalam hati setiap penduduknya, terutamanya pada mereka yang bergelut mempertahankan nyawa ketika musibah itu berlaku. Indonesia (Acheh) merupakan salah satu negara yang mengalami kemusnahan dahsyat akibat Tsunami selain India, Sri Lanka dan Thailand.

DSC_0489_resize_800

Acheh pasca Tsunami – pemandangan dari udara

Pak Bukhari, pemandu (supir) kami adalah insan yang setia menemani kami berlima dalam menyelami duka, pedih dan rasa pahit setiap hati sanubari warga Acheh. Menerokai rasa sedih jiwa-jiwa mereka, aku terpaku. Tidak terbayang rasanya jika aku yang ditakdirkan Allah melalui detik-detik cemas begitu. Terima kasih pak, atas segala pertolonganmu sepanjang kami bertandang ke bumi Acheh, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya…  🙂

SAMSUNG CAMERA PICTURESPak Bukhari

Bandar Udara Internasional Sultan Iskandar Muda menjadi saksi bisu saat kaki menjejak bumi Acheh buat kali pertama. Dari kejauhan kelihatan kubah yang menjadi ikon lapangan terbang ini. Namanya juga diambil bersempena dengan nama seorang sultan, iaitu Sultan Iskandar Muda yang merupakan pemerintah agung kesultanan Acheh. Di bawah pemerintahannya, Acheh berkembang menjadi salah satu pusat perdagangan antarabangsa dan juga pusat pengembangan agama Islam yang tersohor di rantau ini.

DSC_0496

20130911_123914

Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda

KUBURAN MASSAL 

20130911_133727

Setelah dijemput Pak Bukhari, perjalanan kami bermula. Kuburan Massal Siron merupakan destinasi pertama kami. Jarak kuburan massal ini dari lapangan terbang tidak jauh, sekitar 4 km sahaja. Kuburan massal (Mass Grave) ini menempatkan jasad korban tsunami yang paling ramai iaitu sebanyak 46,718 orang. Allahuakbar, aku berdiri di tempat puluh ribuan mangsa dikebumikan. Allahuakbar, betapa besarnya kuasa-Mu, tanpa cepat dan lewat sesaat pun, ianya berlaku.

20130911_133750

46,718 jiwa yang gugur dikebumikan di sini

Pak Bukhari menceritakan selepas kejadian tsunami, ribuan mayat bergelimpangan di sekeliling kota. Kesemua yang gugur harus dikebumikan segera bagi mengelakkan wabak penyakit menular di seluruh kawasan. Akhirnya kawasan perkuburan massal ini yang asalnya merupakan sebatang sungai, dikeringkan airnya bagi menempatkan mereka yang terkorban. Di sinilah tempat mereka disemadikan beramai-ramai, tanpa mengira bangsa dan agama. Tanpa nesan dan tanda, mereka ini meninggalkan seluruh keluarga dan sahabat handai buat selama-lamanya. Allahu-Rabbi, semoga roh-roh mereka yang gugur ini dilimpahi rahmat-Mu dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

DSC_0510Persinggahan sebelum menuju ke destinasi abadi

Kawasan perkuburan massal ini bukan hanya terletak di sini, malah banyak lagi kawasan yang dijadikan perkuburan massal di Acheh. Namun, perkuburan massal Siron ini merupakan kawasan perkuburan yang paling besar. Ketika melangkah meninggalkan tempat ini, cerita Pak Bukhari tentang tsunami sebentar tadi terngiang-ngiang di cuping telingaku. Sungguh, aku tak mampu membayangkan dahsyatnya ombak menggulung tinggi yang telah memusnahkan segala-galanya dalam sekelip mata. Inilah petanda kuasa Allah, tiada siapa yang mampu menghalangnya.

AYAM TANGKAP JUADAH TRADISI

20130911_135241

Ayam Tangkap

Sudah pastinya setiap kali melawat ke tempat orang, juadah tempatan akan menjadi pilihan. Sepanjang perjalanan 5 hari, ternyata masakan orang Acheh tidak mengecewakan. Ayam Tangkap, merupakan salah satu menu yang harus dicuba. Seunik namanya, Ayam Tangkap merupakan sajian ayam goreng  yang tersembunyi disebalik daun-daun herba yang turut juga digoreng bersama. Ayam rangup yang dicicah pula dengan sambal kicap menambahkan lagi selera kami.

20130911_135555

Menu makan tengah hari kami

Masakan Acheh tidak banyak bezanya dengan masakan di Malaysia. Gulai ikan, sup tulang, daging bakar dan beberapa lagi sajian lain turut dihidangkan kepada kami. Sepanjang pengamatan aku, di sini kedai makan ada di mana-mana sahaja. Jadi sudah tentunya makanan bukan satu masalah besar di sini, apatah lagi untuk mencari yang halal kerana hampir 99% penduduk Acheh beragama Islam.

MASJID RAYA BAITURRAHMAN

20130911_153310

DSC_0544

Masjid Raya Baiturrahman merupakan masjid kebanggaan orang Acheh yang turut menjadi mercu tanda kota Acheh. Lokasinya strategik, terletak bersebelahan dengan Pasar Atjeh yang menjadi tumpuan ramai setiap pengunjung yang bertandang ke sini. Masjid ini adalah antara masjid yang teguh berdiri ketika badai Tsunami datang melanda. Di ruang dalaman masjid inilah ribuan manusia berlindung dari limpahan ombak Tsunami, dan dengan kuasa-Nya, kesemua mereka terselamat daripada musibah tersebut.

20130911_152717

DSC_0542

Masjid ini menyimpan sejarah yang cukup panjang. Mula dibina pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, masjid ini bukan hanya menjadi saksi peristiwa bersejarah Tsunami, namun ianya juga pernah beberapa kali cuba dibakar oleh Belanda. Masjid ini juga menjadi simbol perjuangan orang Aceh menentang penjajah kerana di sini jugalah seorang Jeneral Belanda (J.H.R Kohler), mati dibunuh di bawah sebatang pokok di kawasan masjid ini.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Sejarah Masjid Raya Baiturrahman 

Sebenarnya sudah lama aku menyimpan hasrat untuk solat di masjid ini. Saat aku melihat paparan akhbar dan berita tentang keajaiban masjid ini, hati kecilku berbisik sendiri, mudah-mudahan suatu hari nanti aku diberi peluang untuk solat di sini. Impian itu akhirnya sudah termakbul pada hari pertama aku tiba di sini. Malah malam terakhir aku di Acheh, sekali lagi aku dapat menunaikan solat di sini. Alhamdulillah.

DSC_0522

Reka bentuk masjid ini cukup indah. Aku sendiri kurang pasti, mungkin rekaannya menggabungkan unsur seni bina Arab dan Aceh. Melihat pintunya sahaja sudah membuat aku terpesona, apa lagi bila masuk ke dalam ruang solat. Tiang-tiang besar dalam masjid berbentuk kubah  turut diukir indah, menambahkan lagi nilai eksklusif masjid ini. Benar, masjid ini merupakan antara masjid yang terindah yang pernah aku lawati.

DSC_0514

Ruang dalam masjid

SAMSUNG CAMERA PICTURES

DSC_0519

Selesai solat, kami mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan di sini. Moga kenangan ini kekal selamanya, bukan hanya pada gambar tetapi juga kekal bersama dalam ingatan kami.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Bergambar kenangan vv(^_^)vv

MENUJU KE PULAU WEH

20130912_162249

Keindahan Pantai Sumur Tiga di Pulau Weh

Pulau Weh, atau Pulau Sabang merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di Acheh. Begitu juga kami yang tidak mahu melepaskan peluang untuk berkunjung ke Pulau Weh, yang dikatakan mempunyai bentuk muka bumi semulajadi yang terbina dari batu karang yang amat besar suatu masa dahulu. Sudah tentunya Pulau Weh menjanjikan satu pengalaman yang hebat dengan tarikannya yang tersendiri. Sebenarnya aku sendiri juga kurang pasti tentang Pulau ini. Aku hanya membuat rujukan ringkas di Internet beberapa minggu sebelum berangkat.

Tidak banyak maklumat yang kami peroleh hasil dari pencarian di Internet berkaitan pulau ini. Begitu juga apabila aku mahu menempah penginapan sepanjang kami berada di sini untuk 2 malam. Hanya beberapa hotel yang menawarkan perkhidmatan tempahan bilik secara dalam talian. Dengan pilihan yang amat terhad, akhirnya aku memilih Iboih Inn kerana terpesona dengan kedudukannya yang terletak betul-betul di tepi laut.

20130911_163428

Untuk sampai ke Pulau Weh, kami menaiki feri ekspres ataupun dalam bahasa mereka disebut Kapal Cepat. Perjalanan dari jeti Ulee Lheue mengambil masa 45 minit sahaja untuk tiba ke Jeti Balohan yang terletak di Pulau Weh. Selain kapal cepat, kapal lambat juga turut tersedia bagi memenuhi keperluan penumpang. Kapal lambat juga boleh membawa kenderaan, sama seperti feri di Pulau Pinang. Jadual perjalanan kedua-dua jenis feri tertera seperti di bawah:

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Jadual perjalanan feri dari Banda Aceh – Sabang – Banda Aceh20130911_163402

Ekspress Bahari

Kami menaiki kapal cepat Ekspres Bahari yang dijadualkan pada pukul 4.00 petang. Sementara menanti waktu berlepas, Pak Bukhari membawa kami bersantai di tepi pantai berhampiran Jeti Ulee Lheue. Jagung bakar dan Teh Botol Sosro menjadi pilihan kami untuk melepaskan lelah seketika sambil memerhatikan pemandangan sekeliling.

Ketika memandang laut, imaginasi aku mula berputar ligat. Bayangan ombak tsunami mula bermain di kotak fikiranku. Arghh entah kenapa sejak dari tadi asyik teringat Tsunami. Masih tidak dapat aku bayangkan bagaimana rakyat Acheh ini bangun dan bermula semula menjalani kehidupan sesudah trauma, sesudah kehilangan segala harta benda, sesudah kehilangan orang-orang yang disayangi. Ya, sesungguhnya mereka ini adalah insan yang amat tinggi nilai kesabaran dan ketahanan mental.

DSC_0550

Air laut yang tenang dan mendamaikan 

DSC_0551

Pakcik penjual jagung ini juga mungkin menyimpan kesedihan tsunami jauh di lubuk hati

DSC_0553

DSC_0567

Pencari rezeki di laut

DSC_0571

Tiba sudah waktu berlepas, kami mengucapkan terima kasih kepada Pak Bukhari dan berjanji akan bertemu semula sekembalinya kami dari Pulau Weh dalam masa 2 hari lagi. Akhirnya feri memulakan perjalanan, namun di pertengahan jalan hujan turun mencurah-curah.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

TIBA DI PULAU WEH

20130911_175001

Jeti Balohan

Ketibaan kami di Jeti Balohan disambut oleh Pak Har. Nampaknya hujan masih belum berhenti. Kami meminta Pak Har terus menghantar kami ke tempat penginapan di Iboih Inn kerana hari sudah beransur gelap dan kami juga amat kepenatan kerana seharian dalam perjalanan. Perjalanan dari jeti Balohan mengambil masa selama 45 minit untuk tiba di Pantai Iboih, dan dari sana pihak Iboih Inn akan menjemput kami dengan bot untuk membawa kami ke tempat penginapan.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Hujan sepanjang jalan ke Iboih

Perjalanan ke Iboih Inn dengan bot hanya mengambil masa 5 minit. Walaupun dalam hujan, hati aku tetap teruja bila melihat air laut menghijau sehingga kelihatan dasarnya. Rasa tak sabar menanti hari esok, mudah-mudahan cuaca menyebelahi kami agar dapat kami menjelajah sekeliling pulau.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Baru tiba di Iboih Inn dalam kehujanan

Perjalanan hari pertama terhenti di sini. Setelah mendapatkan kunci bilik masing-masing, kami mengambil peluang beristirehat seketika sebelum makan malam. Malam ini kami hanya memesan hidangan makan malam di Iboih Inn sahaja, kerana masing-masing nampaknya sudah penat dan mahu mendapatkan rehat yang cukup sebelum meneruskan aktiviti pada hari esok.

Alhamdulillah, syukur perjalanan ini berjalan dengan lancar dan banyak yang aku pelajari pada hari pertama ini. Semoga esok dan hari-hari seterusnya lebih banyak ilmu yang dapat aku pelajari.

** Aku akan sambung aktiviti hari ke-2 dalam entri akan datang vv(^-^)

Advertisements
Comments
  1. Dunia Farel says:

    Wah! sungguh puitis ayat monolog ahkak ye… rindu bangat sama sabang!! hehehe… nanti iols buat link ke sini ye kak.. blog i, i xde la citer sedetail u ni tau.. heheh best2!

    • Maz Arifa says:

      Selamat datang Farel ke blog ahkak yang sederhana saja.. puitis tu bermusim, ada masa jadik ribut taufan juga hahaa.. nantikan ye entri seterusnya, tapi tatau la entah bila.. ;P

  2. Azira says:

    Hi..boleh tak share contact supir pak Bukhari dan itineary utk trip ni.email sy azira12@hotmail.com. Thanks in advance 🙂

  3. Hanafi Zainal Abidin says:

    Salam. Saya plan nak buat trip ke Acheh untuk budak2 kelab saya. So nak tanya, berapa bajet ke sana dari segi penginapan, pengangkutan dan makanan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s