…sambungan dari entri sebelumnya:

.:: China: Yangshuo (i) ::.

.:: China: Yangshuo (ii) ::.

.:: China: Yangdi – Xing Ping (1) ::.

.:: China: Yangdi – Xing Ping (2) ::.

.:: China: Yangdi – Xing Ping (3) ::.

.:: China: Yao Minority Village ::.

Selesai lawatan ke Perkampungan Minority Yao, perjalanan diteruskan. Masing-masing diam melayan perasaan sendiri, mungkin sedang membayangkan bagaimana agaknya pemandangan di Longji Terraces Field nanti. Sejujurnya aku juga tak sabar menunggu, tak sabar melihat dengan mata sendiri keindahan Longji.

Akhirnya tibalah kami di Longji, tempat yang ditunggu-tunggu. Kami turun di Kampung Ping An (Ping An Village) yang merupakan salah satu daripada pintu masuk ke Longji Terraces. Dengan membawa beg yang berkilo-kilo beratnya, kami bersemangat meneruskan perjalanan tanpa mengetahui apa yang menunggu kami di hadapan. Bayaran masuk sebanyak 40 yuan dikenakan kepada pelawat. Bayar sajalah, dah sampai kan.

DSC_0215

Laluan landai sebelum mendaki

Dalam perjalanan ke sini, kami dimaklumkan bahawa kami boleh menggaji porter untuk naik ke atas. Kami sememangnya berangan kuat sangat, tak mahu menggunakan khidmat porter. Disebabkan niat sudah begitu, memang ditakdirkan untuk kami, seorang porter pun tak kelihatan sepanjang jalan. Bermula dari pintu masuk nampaknya boleh bertahan lagi. Tetapi semakin tinggi dan jauh, memang semput dibuatnya.

Mujur tempat penginapan kami adalah yang paling bawah. Walaupun paling bawah, tengok sajalah tingginya macam mana. Memang rasa nak pengsan, tapi kami teruskan juga. A step at a time. Jangan paksa diri, kalau penat berhentilah. Lagipun kami tak mengejar masa.

DSC_0905

Sayup di atas sana, tempat bermalam kami

DSC_0908

Latihan kecergasan fizikal dan mental

DSC_0907

Naik lagi, jangan berputus asa vv(^_^)

DSC_0909

Sikit lagi

DSC_0064

Kena melalui rumah-rumah orang di Kampung Ping An

DSC_0066

Akhirnya tibalah kami ke LongJi International Youth Hostel, tempat bermalam kami. Hostel ini bersih dan cukup keperluan asas, cuma ada sesuatu yang mendukacitakan telah berlaku antara kami dan penjaga hostel. Dari segi pemandangan sekeliling memang amat indah walaupun kedudukannya bukan di puncak, tetapi cukup untuk kami menikmatinya dengan penuh rasa takjub dan syukur.

DSC_0070

 Pintu masuk mesti ada jagung

Camera 360

Pemandangan dari bilik 

DSC_0920

Orang kampung tengah makan-makan. Mereka buat kenduri. 

Ulasan tentang hostel ini akan aku masukkan dalam entri yang lain ya!

 LONGJI TERRACES FIELD

Sedikit sejarah Longji Terraces Field:

DSC_0944

Dikatakan Longji Terraces Field ini merupakan teres padi yang paling menakjubkan di China. Pembinaan teres memakan masa lebih 300 tahun, merentas 2 dinasti (Dinasti Yuan dan Qing) iaitu bermula akhir tahun 1200 hinggalah awal 1300. Penduduk di sini terdiri daripada etnik Yao dan Zhuang, mereka jugalah yang memulakan penerokaan teres-teres dan penanaman padi di sini hinggalah lengkap semasa zaman pemerintahan Dinasti Qing.

Setelah masing-masing mendapatkan rehat yang cukup, kami memulakan perjalanan untuk mendaki ke puncak. Kami juga tidak mempunyai sebarang idea tentang jarak yang harus kami lalui untuk sampai ke puncak. Hanya mengikut gerak kaki, langkah demi langkah, kami terus mendaki. Laluan pejalan kaki agak sempit. Sudahlah begitu, kadangkala terpaksa pula berkongsi laluan dengan keldai yang sibuk turun dan naik menghantar barangan dan kelengkapan.

DSC_0929

Di lereng gunung juga berbaris kedai-kedai menjual cenderahati, makanan dan minuman. Namun menjelang petang, kelihatan semua premis ditutup. Kami meneruskan pendakian, walaupun tak pasti di mana puncak. Teruskan mendaki, kalau dah bosan nanti boleh turun balik. Yang pasti, kami tahu dan mahu menyaksikan matahari terbenam.

DSC_0994

 Gerai menjual cenderamata di lereng gunung

DSC_0988

Pemandangan sebelum tiba di puncak

DSC_0979

Hargailah hasil titik peluh para petani

DSC_0197

Membanting tulang empat kerat

DSC_0096

Dari perkampungan Ping An, ada 2 puncak utama yang boleh didaki iaitu Puncak 1: Nine Dragons dan Five Tigers dan Puncak 2: Seven Stars and The Moon. Namun, aku hanya memilih puncak yang paling rendah (boleh?) iaitu Puncak ke-2. Kami sebenarnya kesuntukan masa juga, hanya sempat sampai ke puncak ke-2 betul-betul ketika matahari sedang melabuhkan tirai siang. Melihat pemandangan dari puncak ini juga telah membuatkan kami teruja.

DSC_1009

Seven Stars and The Moon

DSC_0003

Sunset…tak berapa ada. 

PERKAMPUNGAN PING AN

DSC_0955

 Perkampungan Ping An

Perkampungan Ping’An di sini mempunyai sejarah berusia 600 tahun, dan juga merupakan antara spot terbaik untuk menikmati pemandangan indah di Longji Terraces Field. Di sinilah, di kampung inilah kami memilih untuk bermalam, di samping dapat menyaksikan pemandangan teres padi yang menghijau, dapat juga kami mendalami kehidupan masyarakat di perkampungan ini. Selain Ping An, ada sebuah lagi perkampungan iaitu perkampungan Dazhai yang dikatakan lebih aman dan tenang serta kurang sibuk dengan kehadiran para pelancong.

Lihatlah sahaja bagaimana bangunan di sini dibina. Betul-betul di lereng gunung, asal muat. Semakin tinggi, semakin banyak premis menyediakan penginapan untuk para pengunjung. Berdasarkan pengamatan kami sepanjang berada di sini, pelancong tempatan agak ramai. Mungkin kerana itu, semakin banyak rumah penginapan dibina untuk memenuhi keperluan pelancong yang semakin meningkat.

DSC_0939

Rumah-rumah di tepi gunung

Rata-ratanya penduduk di sini adalah mereka yang mengusahakan sawah padi di lereng-lereng gunung ni dan juga tanaman yang lain sebagai hasil sampingan. Kebanyakan mereka menyediakan tempat khas untuk mengeringkan hasil tanaman, mungkin untuk dijual di sekitar daerah Longsheng ini. Selain itu, nasi buluh ini juga merupakan makanan asas penduduk di sini. Bentuk macam lemang kan, tapi kami tak berani nak cuba.

DSC_0200

Nasi buluh atau Bamboo Rice, makanan ruji mereka

DSC_0204

Tempat mengeringkan makanan

Jika berada di sini pada waktu petang, tiada apa lagi yang boleh dilakukan selain bergaya sakan di hadapan kamera dan menikmati pemandangan matahari terbenam. Apabila hari mulai gelap dan suhu juga sudah semakin sejuk (suhu malam lebih kurang -6 darjah celcius), kami cepat-cepat turun semula untuk menuju ke hostel. Dalam kegelapan, risau juga kalau sesat tidak berjumpa jalan pulang. Jalan kecil dan berliku, malah banyak simpang lebih mengelirukan kami. Mujur juga kami bertemu seorang penduduk kampung yang sudi menunjukkan kepada kami jalan pulang. Tetapi sebelum itu sempat lagi membeli bekalan makanan, hanya buah-buahan buat penyambung tenaga yang harganya teramatlah murah, sehingga tak sampai hati kami dibuatnya.

DSC_0057

Beli buah-buahan. RM 2 sahaja. 

DSC_0054

Suasana malam di Kampung Ping An

Jika berkunjung ke Longji pada waktu siang, suasananya amat berbeza. Kedai-kedai di lereng bukit menawarkan pelbagai hasil kraf dan cenderamata. Sesetengah darinya memang amat murah harganya, asal kena cara tawar-menawar. Selain itu, jika pelancong berminat untuk menggayakan pakaian tradisi etnik minoriti Yao juga bolehlah mencubanya di sini, kerana sepasang baju hanya dikenakan bayaran sebanyak 10 yuan (RM5). Murah kan?

DSC_0085

Nenek menjual kraf tenunan

DSC_0086

Hasil kerja tangan yang sangat halus. Aku tertawan dan terbeli!

DSC_0153

Bergaya sakan

Sayang bukan waktunya pada ketika kedatangan kami padi belum menghijau. Tetapi apa yang disaksikan ini memang amat menakjubkan, rasanya tidak mengira bila dan musim apa sekalipun, pemandangannya tetap yang terbaik. Sekalipun hanya satu malam di sini, pengalaman yang diperoleh amat berharga. Alhamdulillah, syukur kerana dengan izin-Nya, setelah melalui penat dan lelah, dapat juga aku menjejakkan kaki ke sini.

DSC_0208

Nak balik, harus menuruni laluan yang sempit dan curam. Silap langkah boleh tergolek masuk gaung

 

.:: China: Yao Minority Village ::.

Posted: September 30, 2013 in China, Longji, Vacation

Salam semuanya🙂

Baru ada “mood” nak ber’blogging‘ semula tentang perjalananku di China setelah berbulan-bulan. Macam tu lah, ada kalanya semangat berkobar-kobar, ada kalanya ke laut. Gila, dah hampir setahun pun masih tak habis-habis lagi. Jadi, mungkin ada maklumat yang aku beri nanti sudah tidak valid lagi. Niat hati cuma nak kongsi cerita, pengalaman dan rasa sepanjang perjalanan ku kali ini.

Untuk membaca entri-entri sebelum ini, sila klik pautan di bawah:

.:: China: Yangshuo (i) ::.

.:: China: Yangshuo (ii) ::.

.:: China: Yangdi – Xing Ping (1) ::.

.:: China: Yangdi – Xing Ping (2) ::.

.:: China: Yangdi – Xing Ping (3) ::.

MENUJU KE LONGJI

Setelah 2 malam berada di Yangshuo, kami meneruskan perjalanan. Seharusnya terus ke Guilin, tetapi hasrat hati kami mahu bermalam di Longji terlebih dahulu. Melalui pembacaan di Internet, untuk ke Longji menggunakan kemudahan pengangkutan awam agak sukar kerana tiada perkhidmatan bas terus dari Yangshuo ke Longji. Kami harus menaiki bas ke Guilin terlebih dahulu dan dari situ menaiki bas lain untuk ke Longji. Semestinya itu bukan pilihan yang terbaik kerana kami kesuntukan masa dan jarak perjalanan yang agak jauh. Oleh itu, kami memilih alternatif untuk menumpang bas persiaran yang membawa pelancong yang telah menempah pakej lawatan sehari ke Longji, melalui hotel West Lily di Yangshuo. Tumpang tu kena bayaran la jugak, bukan percuma tau vv(^_^) … sekitar 130 Yuan termasuk tiket masuk ke Ping`An Village di Longji sebanyak 80 Yuan.

Perjalanan mengambil masa 3 jam 30 minit untuk sampai ke Longsheng, sebuah pekan kecil yang merupakan pintu masuk ke kampung-kampung yang terletak di lereng gunung di Longji. Setiap pelancong yang datang dengan bas persiaran perlu turun untuk menaiki bas mini kerana faktor jalan yang sempit tidak membolehkan bas yang besar melaluinya. Dalam bas, pemandu pelancong menerangkan serba sedikit tentang tentatif program mereka. Memandangkan aku tidak termasuk dalam kumpulan ini, aku tidaklah menumpukan perhatian sangat, hanya memandang keluar tingkap melayan perasaan. Aku disapa oleh pemandu pelancong yang bertanyakan kalau kami mahu turut serta dalam sesi lawatan ke Kampung Minoriti Yao, iaitu salah satu perkampungan etnik yang terdapat di Longji. Jika kami tidak mahu turut serta, kami boleh menunggu mereka di tempat parkir bas.

Setelah berbincang, kami bersetuju untuk turut serta. Ini pengalaman pertama kami ke sini, sudah semestinya kami tidak mahu melepaskan peluang untuk mempelajari sesuatu tentang budaya orang lain. Untuk lawatan tambahan ini, kami perlu membayar 90 Yuan. Mahal juga kan, tapi sanggup. (-_-)

YAO MINORITY VILLAGE 

DSC_0902

China merupakan sebuah negara yang mempunyai budaya dan adat yang unik. Dianggarkan sejumlah 56 kumpulan etnik membentuk populasi rakyat China sekarang, salah satu daripadanya adalah Etnik Yao. Perkampungan etnik Yao yang dalam proses naik taraf (mungkin sekarang dah siap) merupakan salah satu usaha untuk mengekalkan atau memelihara warisan budaya etnik ini. Selain Minoriti Yao, etnik lain yang turut mendiami kawasan Longji termasuklah etnik  Miao, Dong dan Zhuang. Mereka merupakan penduduk asal di sini dan kumpulan penduduk yang mula-mula membuka Longji Terraces Field sejak zaman Dinasti Yuan lagi.

DSC_0827

Perkampungan etnik Yao

DSC_0828

DSC_0832

Rumah tradisi etnik Yao

Sesi lawatan bermula dengan pengenalan tentang kehidupan etnik Yao yang kaya dengan warisan budayanya yang unik. Golongan wanita Yao terkenal kerana rambutnya yang panjang. Mereka hanya memotong rambut sekali seumur hidup iaitu ketika mereka berusia 18 tahun sebagai tanda mereka sudah melangkah ke alam dewasa. Rambut diibaratkan simbol kekayaan dan rezeki, malah mereka percaya semakin panjang rambut mereka, semakin murahlah rezeki. Pada masa dahulu, ketika tiba musim panas, kaum wanita akan turun ke sungai untuk membasuh rambut tetapi rambut mereka ditutup dengan kain.  Mereka tidak akan menunjukkan rambut mereka kecuali kepada suami dan anak-anak mereka. Begitu tinggi nilai rambut mereka sehinggakan mereka begitu menjaganya dari pandangan umum. Namun pada masa kini, adat itu tidak lagi diamalkan. Sekarang, mereka masih lagi mengekalkan tradisi berambut panjang tetapi sudah bebas memperlihatkannya kepada sesiapa sahaja.

TRIVIA: Rahsia rambut kekal sihat dan menawan wanita Yao – basuh rambut menggunakan air basuhan beras. 

DSC_0833

Wanita Yao

Golongan minoriti Yao amat gemar memakai pakaian berwarna terang seperti merah atau merah jambu. Pakaian mereka penuh sulam-sulaman dan kepala mereka ditutup dengan kain hitam untuk melindungi rambut mereka. Mereka amat berkemahiran menghasilkan kraftangan terutamanya yang berbentuk sulaman seperti beg sulaman tangan, sarung bantal dan lain-lain . Sepanjang lawatan, kami turut diekori oleh mereka yang menawarkan barang kraftangan untuk dijual. Memang merimaskan apabila diekori sebegini, namun apakan daya, mereka juga mencari rezeki bagi meneruskan hidup.

DSC_0887

Diekori Penjual…

DSC_0885

Jualan kraftangan

DSC_0839

Seterusnya kami menonton persembahan kebudayaan kaum minoriti Yao ini yang berkonsepkan latar belakang, budaya dan adat yang dipraktikkan dalam kehidupan mereka. Permulaan persembahan dimulakan dengan nyanyian yang aku sendiri pening mendengarnya. Kemudian, kami dipersembahkan dengan tarian yang diselang-selikan dengan cerita yang secara keseluruhannya memang aku tak faham.

DSC_0843

Mungkin nyanyian lagu rakyat etnik Yao

DSC_0844

Wajah-wajah mereka hampir sama

Kemuncak persembahan adalah demonstrasi perkahwinan etnik Yao. Beberapa orang penonton dipanggil untuk menjadi “pengantin” dalam persembahan ini.

DSC_0857

Pilih yang mana satu

“Pengantin” yang dipakaikan riben besar perlu melakukan beberapa ritual, termasuklah menumbuk padi. Aku kira proses menumbuk padi ini tidaklah terlalu asing bagi kami, tetapi bagi pelancong khususnya dari benua Eropah, pastinya ini merupakan salah satu pengalaman baharu untuk mereka.

DSC_0862

Demo upacara perkahwinan

Selesai lakonan upacara perkahwinan, persembahan terakhir merupakan demonstrasi mengikat rambut. Golongan minoriti Yao dikatakan mempunyai rambut paling panjang di dunia dan rekod yang paling panjang yang pernah dicatatkan di Guiness Book of World’s Record adalah sepanjang 2.1 meter. Jadi tentu ada teknik yang khusus apabila mengikat dan menyisir rambut agar kemas dan elok tersimpul di atas kepala.

DSC_0871

Demonstrasi menyikat dan mengikat rambut 

Persembahan kebudayaan tadi menandakan berakhirnya lawatan kami. Sepanjang lawatan aku musykil juga kerana aku tak nampak kelibat seorang pun kaum lelaki dari perkampungan ini. Kemanakah mereka? Malas nak bertanya, aku meneruskan langkah ke tempat parkir bas. Sekurang-kurangnya aku dapat belajar sesuatu dari lawatan ini.

DSC_0900

Selesai lawatan – kembali menuju ke bas

DSC_0899

Peringatan

Walaupun kini banyak unsur-unsur moden dan barat telah meresap masuk ke dalam jiwa mereka terutamanya pada generasi muda, namun mereka masih berusaha mengekalkan adat dan tradisi yang telah dipegang sekian lama. Kewujudan perkampungan seperti ini merupakan satu usaha yang dilakukan bagi mempertahankan warisan budaya yang amat bernilai ini.

Perjalanan kami diteruskan, menuju ke lokasi yang amat memukau pandangan. Longji Terraces Field, akan aku ceritakan dalam entri seterusnya.

DSC_0988

Longji Terraces Field

As-Salam,
Hari ini aku sambung travelog Acheh, entri khas untuk Iboih Inn, tempat penginapan kami sepanjang berada di Pulau Weh. Untuk membaca kisah sebelum ini, sila klik pautan di bawah:

.:: Travelog Acheh (1): Menjejak Bumi Darussalam ::.

IBOIH INN, AKU DATANG

Bukan ku datang dengan mimpi,

Tapi ku tiba bersama impian,

Bukan mudah hendak ke mari,

Pening dan mual aku turutkan. 

Pulau-Weh-Aceh-map.jpg (500×430)

Kredit gambar: inaceh.com

Ya, sepanjang perjalanan dari Jeti Ulee Lheue ke Jeti Balohan, aku dilanda sindrom mabuk laut yang merencatkan keterujaan. Keadaan ruang udara dalam feri yang dipenuhi “wangian” petrol membuatkan aku pening dan hampir muntah. Namun, demi Pulau Weh aku bertahan hingga tiba di Balohan. Belum habis lagi dugaan, perjalanan selama 45 minit ke Iboih melalui jalan berliku-liku menambahkan lagi rasa mual yang dari tadi aku pertahankan. Alhamdulillah, saat melihat kehijauan air laut dari dalam van Pak Har, semua rasa yang dipendam sejak awal tadi hilang sekelip mata.

20130912_090214

Hati mana yang tidak tertawan? 

IBOIH INN

Peta Sabang 2

Nampak Iboih tak?

Iboih Inn merupakan tempat penginapan kami selama dua malam di Pulau Weh. Lokasinya terletak di Iboih yang juga merupakan lokasi paling hampir dengan Pulau Rubiah, salah satu gugusan pulau yang merupakan syurga bagi kaki ‘diving‘ dan kaki ‘snorkel’.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Jeti Iboih Inn

DSC_0591

Ruang santai

DSC_0961

Matahari mula memancarkan sinar

Jeti Iboih Inn sentiasa bersedia menanti kedatangan tetamu dari seluruh dunia. Suasana di persekitaran Iboih Inn amat menenangkan jiwa kerana kita akan sentiasa terbuai dengan bunyi ombak yang tidak pernah berhenti. Selain melalui jalan air, para pengunjung juga boleh menggunakan jalan darat (berjalan kaki) dari “pekan” kecil Iboih (yang sebenarnya hanya deretan beberapa buah kedai) untuk sampai ke sini, tetapi masa yang diambil adalah lebih lama (sekitar 15 minit) berbanding menggunakan bot yang hanya mengambil masa 5 minit. Pihak Iboih Inn menyediakan khidmat bot bagi menjemput dan menghantar tetamu secara percuma semasa daftar masuk dan keluar, manakala untuk menggunakan perkhidmatan bot selain daripada waktu tersebut akan dikenakan sedikit bayaran.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Deretan kedai di Iboih

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Penginapan di Iboih Inn

Iboih Inn menyediakan penginapan asas dalam bajet sederhana kepada para pengunjung yang menginginkan percutian ringkas tetapi bermakna. Aku amat tertarik dengan lokasinya yang betul-betul di tepi laut. Terdapat 16 bilik berupa chalet disediakan untuk pengunjung, dan kadar sewaan biliknya bermula dari IDR 200,000/malam (lebih kurang RM60/malam) beserta sarapan pagi.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Bilik Penginapan

Setiap chalet dibina menghadap laut dan kedudukan bilik-bilik kami berada agak tinggi di atas bukit. Namun, itu semua tidak menjadi masalah kerana pihak Iboih Inn menyediakan laluan trek yang memudahkan tetamu menuju ke bilik mereka.

TRIVIA: Tempat ini asalnya merupakan penempatan sementara mangsa tsunami 2004. Iboih Inn dibina selepas penempatan ini dijual untuk dibangunkan. 

DSC_0577

Laluan pejalan kaki untuk kemudahan pengunjung

DSC_0580

Salah satu bilik Deluxe (berkipas) di Iboih Inn

Kemudahan yang tersedia dalam bilik adalah kemudahan asas, seperti tuala dan sabun. Selain itu tersedia juga kemudahan penapis air panas dan sejuk untuk kemudahan tetamu. Pada aku ini sudah mencukupi kerana apa yang penting adalah keselesaan aku untuk tidur. Biliknya kemas dan bersih, dan cuaca akan mulai sejuk menjelang malam. Bagi aku, tidak perlu pendingin hawa, cukup hanya kipas buat penyejuk badan.

20130911_202224

Keadaan bilik

20130912_084353

Santai

Selain penginapan, Iboih Inn juga menyediakan sewaan kelengkapan snorkeling dengan harga yang amat berpatutan, iaitu IDR 15,000 untuk setiap peralatan. Selain itu, Iboih Inn juga menawarkan pakej ke Pulau Rubiah dan Pantai Gapang. Segala urusan boleh dilakukan di kaunter yang terletak di ruang serbaguna.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Ruang Serbaguna (Semua dalam satu): ruang makan, ruang bersosial, kaunter pertanyaan, kaunter pendaftaran, kaunter bayaran dan lain-lain. 

SAMSUNG CAMERA PICTURES

SAMSUNG CAMERA PICTURES

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Kemudahan yang disediakan

Secara keseluruhannya, aku berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak Iboih Inn. Lokasinya bagus dan makanannya juga sedap. Aspek yang boleh dipertingkatkan pada masa akan datang adalah dari segi penyediaan sambungan wifi terus ke bilik penginapan dan seterusnya penambahbaikan dari segi peningkatan kelajuan Internet yang sedia ada amat diperlukan bagi meningkatkan kepuasan pelanggan.

Sepanjang percutian selama 2 malam di sini, kami dilayan mesra oleh para pekerja dan kucing-kucing yang turut sama menjadi penghuni di sini. Ribuan terima kasih kerana membantu kami menikmati percutian yang awesome! di Pulau Weh.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Kapan-kapan bisa ke sini lagi, buk! 

INFO

Laman Web Iboih Inn: http://welcome.iboihinn.com/

E-mel: iboih.inn@gmail.com

Telefon: +62 811 841 570 / +62 812 699 1659

Salam semuanya,

Tiba-tiba rasa macam nak cerita pasal Acheh, destinasi yang baru aku lawati minggu lepas. Mudah-mudahan perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada semua. 

Cerita di China aku sambung nanti ya? 

******

Alhamdulillah, syukur kerana sekali lagi aku diberi peluang untuk terus memanjangkan langkah kaki dan terus meneroka keindahan alam milik Allah ini. Kali ini destinasi kami ke wilayah Acheh, yang pernah suatu ketika diuji Allah dengan musibah Tsunami. Ternyata kejadian 26 Disember 2004 ini masih segar terpahat dalam hati setiap penduduknya, terutamanya pada mereka yang bergelut mempertahankan nyawa ketika musibah itu berlaku. Indonesia (Acheh) merupakan salah satu negara yang mengalami kemusnahan dahsyat akibat Tsunami selain India, Sri Lanka dan Thailand.

DSC_0489_resize_800

Acheh pasca Tsunami – pemandangan dari udara

Pak Bukhari, pemandu (supir) kami adalah insan yang setia menemani kami berlima dalam menyelami duka, pedih dan rasa pahit setiap hati sanubari warga Acheh. Menerokai rasa sedih jiwa-jiwa mereka, aku terpaku. Tidak terbayang rasanya jika aku yang ditakdirkan Allah melalui detik-detik cemas begitu. Terima kasih pak, atas segala pertolonganmu sepanjang kami bertandang ke bumi Acheh, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya…  :-)

SAMSUNG CAMERA PICTURESPak Bukhari

Bandar Udara Internasional Sultan Iskandar Muda menjadi saksi bisu saat kaki menjejak bumi Acheh buat kali pertama. Dari kejauhan kelihatan kubah yang menjadi ikon lapangan terbang ini. Namanya juga diambil bersempena dengan nama seorang sultan, iaitu Sultan Iskandar Muda yang merupakan pemerintah agung kesultanan Acheh. Di bawah pemerintahannya, Acheh berkembang menjadi salah satu pusat perdagangan antarabangsa dan juga pusat pengembangan agama Islam yang tersohor di rantau ini.

DSC_0496

20130911_123914

Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda

KUBURAN MASSAL 

20130911_133727

Setelah dijemput Pak Bukhari, perjalanan kami bermula. Kuburan Massal Siron merupakan destinasi pertama kami. Jarak kuburan massal ini dari lapangan terbang tidak jauh, sekitar 4 km sahaja. Kuburan massal (Mass Grave) ini menempatkan jasad korban tsunami yang paling ramai iaitu sebanyak 46,718 orang. Allahuakbar, aku berdiri di tempat puluh ribuan mangsa dikebumikan. Allahuakbar, betapa besarnya kuasa-Mu, tanpa cepat dan lewat sesaat pun, ianya berlaku.

20130911_133750

46,718 jiwa yang gugur dikebumikan di sini

Pak Bukhari menceritakan selepas kejadian tsunami, ribuan mayat bergelimpangan di sekeliling kota. Kesemua yang gugur harus dikebumikan segera bagi mengelakkan wabak penyakit menular di seluruh kawasan. Akhirnya kawasan perkuburan massal ini yang asalnya merupakan sebatang sungai, dikeringkan airnya bagi menempatkan mereka yang terkorban. Di sinilah tempat mereka disemadikan beramai-ramai, tanpa mengira bangsa dan agama. Tanpa nesan dan tanda, mereka ini meninggalkan seluruh keluarga dan sahabat handai buat selama-lamanya. Allahu-Rabbi, semoga roh-roh mereka yang gugur ini dilimpahi rahmat-Mu dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

DSC_0510Persinggahan sebelum menuju ke destinasi abadi

Kawasan perkuburan massal ini bukan hanya terletak di sini, malah banyak lagi kawasan yang dijadikan perkuburan massal di Acheh. Namun, perkuburan massal Siron ini merupakan kawasan perkuburan yang paling besar. Ketika melangkah meninggalkan tempat ini, cerita Pak Bukhari tentang tsunami sebentar tadi terngiang-ngiang di cuping telingaku. Sungguh, aku tak mampu membayangkan dahsyatnya ombak menggulung tinggi yang telah memusnahkan segala-galanya dalam sekelip mata. Inilah petanda kuasa Allah, tiada siapa yang mampu menghalangnya.

AYAM TANGKAP JUADAH TRADISI

20130911_135241

Ayam Tangkap

Sudah pastinya setiap kali melawat ke tempat orang, juadah tempatan akan menjadi pilihan. Sepanjang perjalanan 5 hari, ternyata masakan orang Acheh tidak mengecewakan. Ayam Tangkap, merupakan salah satu menu yang harus dicuba. Seunik namanya, Ayam Tangkap merupakan sajian ayam goreng  yang tersembunyi disebalik daun-daun herba yang turut juga digoreng bersama. Ayam rangup yang dicicah pula dengan sambal kicap menambahkan lagi selera kami.

20130911_135555

Menu makan tengah hari kami

Masakan Acheh tidak banyak bezanya dengan masakan di Malaysia. Gulai ikan, sup tulang, daging bakar dan beberapa lagi sajian lain turut dihidangkan kepada kami. Sepanjang pengamatan aku, di sini kedai makan ada di mana-mana sahaja. Jadi sudah tentunya makanan bukan satu masalah besar di sini, apatah lagi untuk mencari yang halal kerana hampir 99% penduduk Acheh beragama Islam.

MASJID RAYA BAITURRAHMAN

20130911_153310

DSC_0544

Masjid Raya Baiturrahman merupakan masjid kebanggaan orang Acheh yang turut menjadi mercu tanda kota Acheh. Lokasinya strategik, terletak bersebelahan dengan Pasar Atjeh yang menjadi tumpuan ramai setiap pengunjung yang bertandang ke sini. Masjid ini adalah antara masjid yang teguh berdiri ketika badai Tsunami datang melanda. Di ruang dalaman masjid inilah ribuan manusia berlindung dari limpahan ombak Tsunami, dan dengan kuasa-Nya, kesemua mereka terselamat daripada musibah tersebut.

20130911_152717

DSC_0542

Masjid ini menyimpan sejarah yang cukup panjang. Mula dibina pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, masjid ini bukan hanya menjadi saksi peristiwa bersejarah Tsunami, namun ianya juga pernah beberapa kali cuba dibakar oleh Belanda. Masjid ini juga menjadi simbol perjuangan orang Aceh menentang penjajah kerana di sini jugalah seorang Jeneral Belanda (J.H.R Kohler), mati dibunuh di bawah sebatang pokok di kawasan masjid ini.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Sejarah Masjid Raya Baiturrahman 

Sebenarnya sudah lama aku menyimpan hasrat untuk solat di masjid ini. Saat aku melihat paparan akhbar dan berita tentang keajaiban masjid ini, hati kecilku berbisik sendiri, mudah-mudahan suatu hari nanti aku diberi peluang untuk solat di sini. Impian itu akhirnya sudah termakbul pada hari pertama aku tiba di sini. Malah malam terakhir aku di Acheh, sekali lagi aku dapat menunaikan solat di sini. Alhamdulillah.

DSC_0522

Reka bentuk masjid ini cukup indah. Aku sendiri kurang pasti, mungkin rekaannya menggabungkan unsur seni bina Arab dan Aceh. Melihat pintunya sahaja sudah membuat aku terpesona, apa lagi bila masuk ke dalam ruang solat. Tiang-tiang besar dalam masjid berbentuk kubah  turut diukir indah, menambahkan lagi nilai eksklusif masjid ini. Benar, masjid ini merupakan antara masjid yang terindah yang pernah aku lawati.

DSC_0514

Ruang dalam masjid

SAMSUNG CAMERA PICTURES

DSC_0519

Selesai solat, kami mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan di sini. Moga kenangan ini kekal selamanya, bukan hanya pada gambar tetapi juga kekal bersama dalam ingatan kami.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Bergambar kenangan vv(^_^)vv

MENUJU KE PULAU WEH

20130912_162249

Keindahan Pantai Sumur Tiga di Pulau Weh

Pulau Weh, atau Pulau Sabang merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di Acheh. Begitu juga kami yang tidak mahu melepaskan peluang untuk berkunjung ke Pulau Weh, yang dikatakan mempunyai bentuk muka bumi semulajadi yang terbina dari batu karang yang amat besar suatu masa dahulu. Sudah tentunya Pulau Weh menjanjikan satu pengalaman yang hebat dengan tarikannya yang tersendiri. Sebenarnya aku sendiri juga kurang pasti tentang Pulau ini. Aku hanya membuat rujukan ringkas di Internet beberapa minggu sebelum berangkat.

Tidak banyak maklumat yang kami peroleh hasil dari pencarian di Internet berkaitan pulau ini. Begitu juga apabila aku mahu menempah penginapan sepanjang kami berada di sini untuk 2 malam. Hanya beberapa hotel yang menawarkan perkhidmatan tempahan bilik secara dalam talian. Dengan pilihan yang amat terhad, akhirnya aku memilih Iboih Inn kerana terpesona dengan kedudukannya yang terletak betul-betul di tepi laut.

20130911_163428

Untuk sampai ke Pulau Weh, kami menaiki feri ekspres ataupun dalam bahasa mereka disebut Kapal Cepat. Perjalanan dari jeti Ulee Lheue mengambil masa 45 minit sahaja untuk tiba ke Jeti Balohan yang terletak di Pulau Weh. Selain kapal cepat, kapal lambat juga turut tersedia bagi memenuhi keperluan penumpang. Kapal lambat juga boleh membawa kenderaan, sama seperti feri di Pulau Pinang. Jadual perjalanan kedua-dua jenis feri tertera seperti di bawah:

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Jadual perjalanan feri dari Banda Aceh – Sabang – Banda Aceh20130911_163402

Ekspress Bahari

Kami menaiki kapal cepat Ekspres Bahari yang dijadualkan pada pukul 4.00 petang. Sementara menanti waktu berlepas, Pak Bukhari membawa kami bersantai di tepi pantai berhampiran Jeti Ulee Lheue. Jagung bakar dan Teh Botol Sosro menjadi pilihan kami untuk melepaskan lelah seketika sambil memerhatikan pemandangan sekeliling.

Ketika memandang laut, imaginasi aku mula berputar ligat. Bayangan ombak tsunami mula bermain di kotak fikiranku. Arghh entah kenapa sejak dari tadi asyik teringat Tsunami. Masih tidak dapat aku bayangkan bagaimana rakyat Acheh ini bangun dan bermula semula menjalani kehidupan sesudah trauma, sesudah kehilangan segala harta benda, sesudah kehilangan orang-orang yang disayangi. Ya, sesungguhnya mereka ini adalah insan yang amat tinggi nilai kesabaran dan ketahanan mental.

DSC_0550

Air laut yang tenang dan mendamaikan 

DSC_0551

Pakcik penjual jagung ini juga mungkin menyimpan kesedihan tsunami jauh di lubuk hati

DSC_0553

DSC_0567

Pencari rezeki di laut

DSC_0571

Tiba sudah waktu berlepas, kami mengucapkan terima kasih kepada Pak Bukhari dan berjanji akan bertemu semula sekembalinya kami dari Pulau Weh dalam masa 2 hari lagi. Akhirnya feri memulakan perjalanan, namun di pertengahan jalan hujan turun mencurah-curah.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

TIBA DI PULAU WEH

20130911_175001

Jeti Balohan

Ketibaan kami di Jeti Balohan disambut oleh Pak Har. Nampaknya hujan masih belum berhenti. Kami meminta Pak Har terus menghantar kami ke tempat penginapan di Iboih Inn kerana hari sudah beransur gelap dan kami juga amat kepenatan kerana seharian dalam perjalanan. Perjalanan dari jeti Balohan mengambil masa selama 45 minit untuk tiba di Pantai Iboih, dan dari sana pihak Iboih Inn akan menjemput kami dengan bot untuk membawa kami ke tempat penginapan.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Hujan sepanjang jalan ke Iboih

Perjalanan ke Iboih Inn dengan bot hanya mengambil masa 5 minit. Walaupun dalam hujan, hati aku tetap teruja bila melihat air laut menghijau sehingga kelihatan dasarnya. Rasa tak sabar menanti hari esok, mudah-mudahan cuaca menyebelahi kami agar dapat kami menjelajah sekeliling pulau.

SAMSUNG CAMERA PICTURES

Baru tiba di Iboih Inn dalam kehujanan

Perjalanan hari pertama terhenti di sini. Setelah mendapatkan kunci bilik masing-masing, kami mengambil peluang beristirehat seketika sebelum makan malam. Malam ini kami hanya memesan hidangan makan malam di Iboih Inn sahaja, kerana masing-masing nampaknya sudah penat dan mahu mendapatkan rehat yang cukup sebelum meneruskan aktiviti pada hari esok.

Alhamdulillah, syukur perjalanan ini berjalan dengan lancar dan banyak yang aku pelajari pada hari pertama ini. Semoga esok dan hari-hari seterusnya lebih banyak ilmu yang dapat aku pelajari.

** Aku akan sambung aktiviti hari ke-2 dalam entri akan datang vv(^-^)

Salam semuanya,

Alhamdulillah, kini aku mampu menarik nafas lega. Peperiksaan akhir semester untuk pengajianku telahpun tamat minggu lepas. Selangkah sahaja lagi ke menara. Ewah. Ada satu lagi peperiksaan tahap dewa dewi yang perlu dilalui sebulan dari sekarang. Ini ujian yang sangat penting, yang akan menentukan samada aku layak bergelar graduan atau tidak. Insya Allah, para pembaca (ceh, ada ke?) tolong doakan ye, usahaku selama setahun setengah ini membuahkan hasil yang diidam-idamkan.

Hari ini aku nak sambung kisah perjalanan sepanjang Yangdi dan Xing Ping, untuk membaca kisah-kisah yang lepas, boleh klik pada pautan di bawah:

.::China: Yangdi – Xing Ping (1) ::.

.::China: Yangdi – Xing Ping (2) ::.

Kisah Yangdi – Xing Ping merupakan suatu kisah yang panjang, sebab aku rasa inilah pengalaman terhebat sepanjang pengembaraan kali ini. Lagipun, untuk menceritakan segala-galanya dalam hanya satu entri adalah amat mustahil, sementelah memang banyak yang ingin aku kongsikan kepada semua tentang pengalaman ku disana.

Hujan masih lebat, nampak gayanya tidak mahu berhenti. Sejak hari pertama aku tiba di Shenzhen, kemudian membawa diri ke Yangshuo – Longji – Guilin, inilah satu-satunya hari hujan turun mencurah-curah. Suasana kehujanan dan cuaca yang sejuk sesungguhnya amat menguji kesabaran dan minda kami, apatah lagi ianya turun pada hari kami trekking. Namun, itu semua kuasa Allah, dan kami pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku.

DSC_0572

Nampak macam tak hujan, sebenarnya hujan. 

Setelah melepasi Kampung Qianjiazhou, kami meneruskan perjalanan. Tetapi perut kami sudah mulai lapar, minta diisi. Kami berhenti seketika untuk berehat. Kawasannya cuma di atas tembok yang dibina di tebing sungai. Sambil duduk, kami mengeluarkan bekalan. Hanya biskut, roti dan beberapa keping energy bar. Cukuplah, buat menambah tenaga. Kami memerhati keadaan sekeliling yang indah permai. Kelihatan beberapa buah rakit dan feri silih berganti membawa penumpang menikmati keindahan Sungai Li.

DSC_0576

Mencari rezeki di Sungai Li

Masing-masing nampaknya melayan perasaan sendiri. Lapar sangat agaknya. Sedang asyik mengunyah, aku ternampak seorang tua sedang menangkap ikan dari atas rakitnya. Pada mulanya kelihatan biasa sahaja, tetapi setelah diamati, ada dua ekor burung di atas rakit tersebut yang kerjanya adalah membantu tuannya menangkap ikan. Menarik! cormorant, atau burung dandang air dilatih untuk menangkap ikan dalam sungai. Begini caranya, burung akan di”suruh” oleh tuannya untuk turun menyelam bila tiba di kawasan yang banyak ikan. Burung tadi akan mengikut kata tuannya, dan menyelam untuk mendapatkan ikan. Kemudian, ikan tersebut dibawa naik dan dimasukkan ke dalam bakul. Terhibur hati melihatnya. Apa yang menariknya, leher burung tersebut diikat supaya burung tu tak makan ikan tu. Kesian burung tu kan, tapi aku rasa burung tu dah curi-curi makan masa kat dalam air. Haha.

DSC_0583Burung dandang air, atau cormorant bersama tuannya di atas rakit

Melihat cormorant menangkap ikan merupakan sesuatu pengalaman yang baru. Kamera terus dipetik berkali-kali. Teruja. Sebenarnya, di hostel tempat aku menginap juga ada menyediakan pakej untuk melihat cormorant fishing ni. Tapi aku tak berminat, mungkin pada pandangan aku harga pakej yang ditawarkan agak mahal bagi tujuan untuk menyaksikan persembahan cormorant yang difikirkan biasa-biasa sahaja.

“Ahh..apa yang pelik, burung tangkap ikan je..” kata hati yang kadang-kadang menipu.

Bagi aku, bukanlah satu kemestian untuk melihat cormorant fishing ni. Manalah tahu ada rezeki macam kami, dapat lihat percuma saja. Tapi kalau tak dapat pun, tak rugi juga. Rasanya lah, terpulang pada penilaian dan bajet masing-masing.

Sedang asyik mengambil gambar lelaki tua itu bersama cormorantnya menangkap ikan, aku dapati dia semakin menghampiri tebing sungai dan menuju ke arah kami. Aku pon hairan juga, apa masalahnya pakcik ni. Semakin lama semakin dekat, dan akhirnya apabila jarak hanya tinggal beberapa meter dari tebing, dia menadah tangannya meminta wang.

DSC_0584

“Ha.. dah mintak duit pulak pakcik ni..”

Sambil sebelah tangannya menuding ke arah kamera aku, sebelah tangan lagi terus menadah meminta wang sambil mulutnya terkumat-kamit. Entah apa yang dibebelkan, agaknya marah kami ambil gambar dia. Eh, salah ke aku ambil gambar dia? Aku kan pelancong, apa salahnya kan. Haha. Pakcik itu teruslah bising-bising minta dibayar. Tak boleh jadi orang tua ni. Maka, dengan perlahan aku bangun…mereka pun bangun..dannnnn…

“Jom.. blah..” 

Dengan pantas kami meninggalkan pakcik itu dan meneruskan perjalanan. Ahh, tak baik kan. Tapi entahlah, rasa macam tak wajar saja menghulurkan wang kepada pakcik tu. Aku hanya melihat cara dia mencari rezeki. Rupanya dari kejauhan, dia perasan aku ambil gambarnya. Feeling like artist pulak pakcik ni, nak kena bayar.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan menyusuri sungai. Adakalanya, laluan trek membawa kami memasuki kawasan kampung. Ada kebun limau, kebun sayur dan ada bukit-bukau. Semuanya indah.

DSC_0586

Sepanjang perjalanan melalui kawasan kebun

DSC_0594

Kebun sayur

Ok, lepas ni layan gambar dulu ye vv(^_^)vv

DSC_0590  Penanda jalan – kami berada di laluan yang betul

DSC_0595

Cili yang gemuk-gemuk belaka

Ketika ini, kamera aku dah mula buat hal. Disebabkan sejuk dan hujan, lensa kamera sudah mula berkabus. Jadi, gambar-gambar selepas ini semuanya kabur sahaja. Kamera kawan-kawan dah lama berbungkus. Sekurang-kurangnya kamera aku mampu bertahan hingga saat ini. Aku sebenarnya amat terkilan, pemandangan yang sebegini indah terlepas begitu sahaja. Segalanya hanya terakam di kotak mindaku, tersimpan kemas dan lipatan kenangan. Sesekali dalam keadaan hujan yang agak lebat, aku terpaksa menyimpan kamera dalam beg dan membiarkan pemandangan secantik ini berlalu.

DSC_0658

Laluan trekking

DSC_0661

Cantik pulak dengan pokok-pokok kering di kiri kanan 

Setelah agak lama berjalan, kami tiba di suatu kawasan lapang. Kami mengambil kesempatan untuk berehat buat kali kedua. Makan lagi sambil melihat pemandangan. Sepanjang perjalanan dari Yangdi tadi, kami tak jumpa seorang pun yang turut sama trekking macam kami. Agaknya sebab hujan. Kami saja yang buat kerja ‘gila’ macam nih, trekking tengah hujan.

DSC_0675Santai dan semua sibuk ambil gambar

DSC_0679 Sungai Li mengalir tenang

DSC_0704

Lepak-lepak saja

Setelah berehat hampir setengah jam, perjalanan diteruskan. Rasanya setelah hampir 5 jam kami berjalan, akhirnya kami tiba di sebuah kampung. Waktu tu jam menunjukkan pukul 2.45 petang. Aku sudah berkira-kira berapa jam lagi agaknya kami akan tiba di Xing Ping. Mudah-mudahan sempat.

DSC_0730

Jalan kampung

Tiba di perkampungan ini (aku tak pasti apa nama kampung ni), kami dapati ada sebuah jeti yang turut menyediakan rakit ke Xing Ping. Ada seorang pemuda mendekati kami untuk menawarkan rakitnya. Walau bagaimanapun, kami masih enggan menaiki rakit. Pada pengamatan dan firasat (cey wah) kami, jarak ke Xing Ping sudah tidak jauh. Lalu aku bertanyakan kepada pemuda itu di mana agaknya lokasi kami sekarang. (aku buka balik peta)

“Uncle..chong cheng chong cheng..bbla bla blaaa?” 

Kali ini pemuda itu dengan yakinnya mengatakan kami berada di Grandpa Watching Apple, tempat yang sama semasa kami bertanyakan makcik dua orang semasa di perkampungan Quanjiazhou tadi. Sebaik sahaja mendengar jawapan pemuda itu, aku menjerit

“Penipu! penipu! penipu!” 

Haha. Mentang-mentang la dia tak faham kan, ahli rombongan yang lain pon dah sumpah seranah dalam bahasa Melayu. Dia ingat kita tak tahu yang dia sengaja nak tipu kami, supaya kami naik rakit untuk ke Xing Ping dengan alasan masih jauh lagi. Lepas tu kami tanya lagi:

“Berapa jauh lagi untuk sampai ke Xing Ping?”

Dengan isyarat tangan sambil berpandukan kepada peta, pemuda itu berkata,

“Sampai ke jeti terakhir lagi 1.5 jam, jalan kaki ke Xing Ping lagi 1.5 jam” 

Kira-kira kalau 3 jam lagi memang la hampir malam baru sampai Xing Ping. Tapi aku dah kata, kalau menipu tetaplah menipu. Kalau dia cakap 3 jam tu maknanya tak sampai 3 jam lah. Kami berbincang sama ada mahu naik rakit atau tidak. Tidak disangka-sangka pertolongan Allah hadir di saat kami memerlukan.

Tiba-tiba dari kejauhan kami lihat ada sekumpulan remaja tempatan juga sedang trekking, macam kami. Kami yakin mereka pun sama macam kami, nak ke Xing Ping. Mereka senyum apabila melintasi kami dan akhirnya kami bersepakat untuk berjalan kaki, seperti mereka juga. Padan muka pemuda rakit itu. Haha.

DSC_0736

Perjalanan diteruskan

Lalu kami pun meneruskan perjalanan. Kami redahi apa sahaja di hadapan. Lopak air, lecak, lubang dan sebagainya asal sampai ke destinasi. Kamera masing-masing dah habis berbungkus berkabus kan, tetapi aksi bergambar tetap diteruskan. Maka kamera handphone la menjadi mangsa.

DSC_0758

Pantang ada benda pelik je, sibuk nak bergambar

Akhirnya…ye akhirnya..sampai juga kami ke destinasi iaitu jeti terakhir sebelum menuju ke Xing Ping. Tengok jam, tak sampai 45 minit pun dari jeti sebelum ini. Memang penipu kan, mereka kata 1.5 jam untuk tiba di sini. Kami pun tak jalan laju sangat sebab masing-masing dah agak kepenatan juga. Itu pun tak sampai sejam.

Tapi cabaran belum lagi berakhir. Kami diuji sekali lagi apabila kami ingin menyeberang sungai. Seorang lelaki kali ini menawarkan rakitnya dengan harga 80 yuan/seorang hanya untuk menyeberang sungai dengan rakitnya. Aku rasa lelaki ini merupakan tauke jeti di kampung ini. Gayanya seolah-olah dia yang mengatur segala penumpang dan perjalanan rakit. Dia seperti tidak mengizinkan kami berkomunikasi dengan orang lain yang berada di situ.

Sekali lagi kami diam membatu di situ. Sangatlah tidak logik. Destinasi kami hanya di seberang, malah kami nampak jelas jeti di seberang kami…80 yuan? Memang mencekik darah. Maaf, kami tak mahu naik rakit kau.

guilin-li-river-trekking-map

Ulang tayang peta ni. Kami nak menyeberang jeti berhampiran bukit

“Lion Watching Nine Horses”

Sementara itu, kami ternampak ada sebuah feri yang berulang alik dari jeti ke seberang. Beberapa kali feri itu berulang-alik, timbul rasa hati untuk pergi bertanya. Dalam masa yang sama, lelaki tadi masih cuba meminta kami naik rakit. Lebih menyakitkan hati bila dia biarkan kami basah berhujan, tanpa menawarkan kami berteduh di pondok tempat mereka berteduh. Lagilah aku tak mahu naik rakit kau. Sebab aku memang dah ada plan B.

Kami ni bijak bestari juga, kami tunggu pelancong muda rakyat tempatan yang kami jumpa di jeti sebelum ni tiba di jeti ini. Kami tahu mereka berada di belakang kami, kami ambil jalan pintas berbanding mereka yang mengambil jalan jauh.

Lebih kurang 15 minit, mereka tiba. Terus kami bertanyakan kalau-kalau ada yang boleh berbahasa Inggeris. Nasib baik ada seorang dalam kumpulan itu yang boleh. Kami tanyakan tujuan mereka, bagaimana mereka nak menyeberang dan berapa harganya. Mereka berkomunikasi dengan tauke jeti tadi.

Jelas, kami ditipu sesuka hati. Mereka dimaklumkan boleh naik feri ke seberang dengan harga 10 Yuan. Owh tadi dengan kami kau tak cakap fasal feri. Kau sibuk dengan rakit saja. Aku apa lagi..

“So, we follow you”

*Tips: Pelancong tempatan biasanya tak menipu. 

Mereka bersetuju dan dengan gembiranya ajak kami ikut bersama. Kami pon gembira berganda bila mereka mengajak. Haha. Lalu kami pon menyeberang sungai dengan bayaran 10 yuan.

Setelah sampai ke seberang, kami berjalan lagi. Kami dimaklumkan oleh pemandu feri yang jarak dari jeti ke pekan Xing Ping adalah 5km. Pada awalnya kami berjalan bersama kumpulan pelancong muda itu, tetapi akhirnya terpisah kerana mereka berjalan amat laju berbanding kami yang terhegeh-hegeh sebab kesejukan. Menikmati pemandangan kononnya.

Sepanjang jalan banyak batu macam kat bawah ni. Tapi kami tak faham. Salah seorang daripada ahli kumpulan pelancong muda tu yang terangkan. Nombor di atas (2450) menandakan jarak ke Xing Ping. Maknanya ada lagi 2450 meter atau 2.45 km. Tak jauh lagi. Seterusnya, sepanjang jalan kami amat peka dengan jarak untuk sampai ke Xing Ping.

DSC_0770

2.45 km lagi. Ayuhhhhh!

Ketika ini, aku dah mula keluarkan kamera semula. Masih berkabus lensaku, namun aku tak mampu membiarkan pemandangan ini terlepas begitu sahaja. Aku terus merakam, dalam hati jadilah, apa yang ada daripada tak ada.

DSC_0776

Sepanjang jalan ke Xing Ping. Sunyi sepi. Hanya kami sahaja yang ada. 

DSC_0782 Cili padi gemok

DSC_0790

Haa yang ni pemandangan yang aku tak perasan. Lepas balik dari ke Yangshuo dari Xing Ping, aku terfikir kenapa la tadi tak lalu kat pemandangan duit 20 yuan ni. Aku perasan gambar ni masa nak pilih gambar untuk entri blog ni lah. Rupanya banyak juga gambar yang aku ambil kat sini. Kalau tak, mesti aku dah buat aksi kegemaran ramai, kuarkan duit 20 yuan dan letak kat depan kamera pastu ambil gambar.

DSC_0794

Pemandangan Xing Ping yang diabadikan di belakang duit 20 yuan

Lepas dah bergambar, kami teruskan perjalanan. Masa ni dah gembira la, tak lama lagi sampai ke pekan Xing Ping. Kumpulan pelancong muda yang bersama kami tadi rupanya dah ambil teksi. Penat agaknya, tapi kami masih cekal berjalan. Kalau nak kira sakit kaki, memang la tak terkira dah. Kasut dah basah habis, kaki pun dah kecut berendam air lama. Dah beribu-ribu langkah kami berjalan hari ni dengan harapan dapatlah kurus 5 kilo. Haha, kuruslah sangat.

Seterusnya layan gambar-gambar di Xing Ping..

DSC_0798

Jambatan lama

Xing Ping, menarik untuk diterokai. Tapi kami tak sempat. Dikatakan Xing Ping merupakan sebuah kota yang menyimpan sejarah berusia ribuan tahun. Melihat kepada struktur bangunan yang ada di sini, aku yakin masih ada lagi saki baki penduduk yang masih menjalani cara hidup lama. Penduduk di sini kelihatannya hidup aman damai. Kanak-kanak nampaknya riang ke sana-sini. Tanpa Ipad, tanpa tablet, tanpa handphone canggih, berjalan kaki sambil menjinjing beg plastik pulang dari sekolah. Arghh amatlah rugi kerana aku tidak dapat menelusuri kehidupan mereka lebih dalam lagi. Dalam hati aku menyimpan hasrat, suatu hari nanti akan aku jejakkan kaki semula di sini.

DSC_0802

Pekan Xing Ping

DSC_0807

Menuju ke stesen bas

Alhamdulillah, dengan izin Allah, perjalanan sejauh 20 km (anggaran – tapi aku rasa lebih daripada itu) berakhir di sini. Walau diuji dengan pelbagai ragam manusia di sepanjang perjalanan, tapi apa yang penting ialah semangat kami untuk terus melakukannya hingga berjaya. Begitu juga aku harapkan dalam kehidupan ini. Mudah-mudahan aku diberi kekuatan, kecekalan dan kesungguhan sebegini apabila berhadapan ujian dariNya.

Kami menaiki bas menuju ke Yangshuo dengan menyimpan kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan buat selama-lamanya. Kalau diberi pilihan jika aku mahu mengulangi semula,

“yes, definitely!” 

…tapi bukan dalam hujan. vv(^_^)vv